Menu Close

Rahsia Puasa dan Syarat Hikmah Menjaga Kebatinian Puasa

Ada enam rahsia puasa dan hikmah kebatinian puasa

1.   Memejamkan pandangan dan menahannya dari meluaskan pandangan dari segala yang tercela dan dibenci oleh agama dan segala sesuatu yang boleh mengganggu hati, seperti melalaikannya dan berzikir dan ingat pada Allah.

2.   Memelihara percakapan  dari bercakap yang sia-sia, bohong, mencaci maki, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan riya’

3.   Memelihara pendengaran dari mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan, haram juga mendengarkannya. dan kerana itu jugalah allah s.w.t telah menyamakan pendengaran kepada sesuatu semacam itu dengan memakan barang-barang yang diharamkan, sebagaimana dalam firmannya:  سَمَّٰعُونَ لِلْكَذِبِ أَكَّٰلُونَ لِلسُّحْتِ “ Mereka itu suka mendengar perkara yang bohong dan memakan barang yang haram.” – Surah Al-Maa’idah ayat 42

4.   Memelihara seluruh anggota yang lain dari membuat dosa seperti tangan dan kaki, dan memeliharanya juga dari segala yang dibenci. Demikian pula menahan perut dari memakan makanan barang-barang yang bersyubhat waktu berbuka puasa. Apalah gunanya berpuasa dari makanan halal kemudian dia berbuka dengan makanan yang haram. Orang berpuasa seperti ini samalah seperti orang yang membangunkan sebuah istana magah dan indah, kemudian dia menghancurkan sebuah kota. Rasulullah saw bersabda:

” كم من صائم ليس لهما صومه إلا الجوع والعطش”

“ Ada banyak orang yang berpuasa, tetapi dia tidak memperolehi apa-apa kebaikan (pahala) dari puasanya itu, selain lapar dan dahaga.”

Ada yang mengatakan, bahawa orang itu adalah orang yang berbuka puasanya dengan makanan haram. Yang lain pula ada mengatakan, orang itu menahan dirinya (berpuasa) dari makanan yang halal, lalu ia berbuka dengan “memakan daging manusia.” (Iaitu mencaci maki) oleh kerana yang demikian itu adalah haram hukumnya. Ada yang mengertikan dengan orang yang tiada memelihara anggota-anggotanya dari dosa.

5.   Janganlah dia memperbanyakkan makan diwaktu buka puasa sekalipun dari makanan yang halal sehingga terlampau kenyang, kerana tidak ada kesan yang paling dibenci oleh Allah SWT daripada perut yang penuh dengan makanan. Cuba kita renungkan bagaimana dapat menentang musuh Allah (Syaitan) dan melawan syahwat sekiranya apa yang dilakukan oleh orang yang berpuasa waktu berbuka itu, ialah mengisikan perut yang kosong disiang harinya tadi dengan berbagai-bagai makanan semata-mata kerana perut itu belum terisi dari siang tadi. Kadangkala makanan yang disaji berbagai-bagai menunya, sehingga menjadi semacam adat pula kemudiannya. Akhirnya dikumpulkannya beragam makanan untuk persediaan berbuka dan dihidangkannya pula dalam satu bulan  di bulan Ramadan yang tak pernah dihidangkan dalam bulan-bulan sebelumnya. Maksud puasa yang sebenar adalah : Menahan selera dan mengekang nafsu, agar diri kuat untuk taat dan bertaqwa kepada Allah. Tetapi kalaulah hanya sekadar menahan lapar disiang hari lalu membiarkan selera dan syahwatnya melonjak-lonjak dengan kemahuannya pada makanan yang dihidangkan dengan kepelbagaiannya dan lazat sehingga perut pun kenyang maka sudah tentulah perut itu akan bertambah keinginannya kepada makanan-makanan itu. Maka timbul jugalah syahwat pada keinginan baru sekiranya tidak dibendung kebiasaannya akan tetap pada kebiasaanya untuk mahukan itu dan ini!

semua ini bertentangan dengan maksud dan tujuan utama dalam puasa. sebab hakikat puasa dan rahsianya adalah untuk melemahkan kemahuan dan keinginan yang digunakan syaitan sebagai cara-cara untuk menarik manusia kepada pelbagai kejahatan. Padahal kemahuan dan keinginan ini tidak dapat ditentang, melainkan dengan mengurangkan syahwat. Barangsiapa yang menjadikan diantara hatinya dan dadanya tempat untuk dipenuhi makanan, maka ia terlindung dari kerajaan langit!

6.   Hendaklah hatinya merasa bimbang antara takut dan harap, kerana ia tiada mengetahui apakah amalan puasanya itu diterima oleh Allah, sehingga tergolong lah ia kedalam golongan ( Muqarrabiin) yang dekat dengan Allah, ataupun puasanya tertolak, maka terkira lah dia ke dalam golongan orang yang terjauh dari Rahmat Allah. Perasan seperti ini harus sentiasa ada pada diri seseorang, setiap kali selesai melakukan sesuatu ibadah kepada Allah Ta’ala.

الله أعلم
______________________________________________________________

Artikel ditulis oleh Ustazah Tuty Alawiyah