Menu Close

Mulakan Tahun Baru Dengan Syukur

By Muhammad Aiman Bin Abdul Khalid

Bismillahir Rahmaanir Rahim

Segala pujian hanya bagi Allah swt. Tuhan Pencipta Alam. Selawat dan Salam ke atas junjungan mulia Rasulullah saw.

Itulah hendaknya. Segala tugasan dan amalan seharian, mulakan dengan lafaz syukur kepada Allah. Itulah juga perkara pertama yang diajar di dalam Al-Quran, di mana Surah pertama di dalam Al-Quran bermula dengan perkataan “Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin” [Al-Fatihah:1].

Syukur ialah ibadah yang tertinggi seorang insan boleh lakukan terhadap Tuhannya. Sebagai contoh, Rasulullah saw. pernah melakukan Solat Sunnah pada waktu malam sehingga bengkak tapak kaki Baginda. Perkara ini dilihat oleh isterinya Sayyidatina Aishah r.anha kemudian beliau bertanya kepada suaminya: ‘Kenapa kamu Solat sehingga begini sedangkan kamu telah dijamin ke syurga?’ Jawab Baginda Rasul saw: –

أفلا أن أكون عبدا شكورا؟

 “Adakah tidak boleh aku ingin menjadi hamba yang bersyukur (kepada Allah)?” HR Imam Al-Bukhari.

Apabila kita berbincang tentang syukur, maka kita memahami bahawa adanya nikmat yang kita terima. Bagi kita yang suka mengira nikmat yang kita perolehi, percayalah itu adalah perkara yang mustahil. Allah swt. berfirman: –

وَإِن تَعُدُّوا نِعْمَةَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا ۗ إِنَّ اللَّهَ لَغَفُورٌ رَّحِيمٌ

“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkan kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani” [An-Nahl: 18].

Teman sekalian, sempena awal tahun ini, ayuh kita sama-sama mulakan semua tugasan kita dengan memiliki sifat positif iaitu syukur. Syukur dengan anugerahNya. Syukur dengan nikmat Islam sebagai agama kita. Syukur dengan nikmat keluarga, nikmat ilmu yang Allah kurnia, nikmat kesihatan yang kita ada, nikmat kerjaya dan harta, nikmat anggota badan yang sempurna dan banyak lagi nikmatNya dilimpahkan kepada kita.

Apabila kita ditimpa ujian dan masalah dalam hidup, terimalah ia dengan sifat syukur dahulu kepada Tuhan, kerana Allah sendiri berfirman: –

فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا

“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan” [Ash-Sharh: 5-6].

Syukurlah kerana dengan satu kesusahan yang kita terima, Allah gandingkan dengan bermacam-macam kemudahan pada masa yang sama. Apabila kita bersyukur, maka pasti jalan keluar akan hadir dariNya.

Wallahu A’lam. Semoga bermanfaat.

Author: Ketua, Pembelajaran Islam & Pendekatan Masyarakat Masjid Yusof Ishak
Image Credit: wahyucupitu7grafi via Pixabay