Menu Close

Komunikasi

Petikan kata-kata hikmah Mufti di dalam pertemuan bersama para Imam-Imam Masjid pada
tanggal 3 Mei 2019.

Bulan Ramadan memberi kita kesempatan untuk merenungkan dan menziarahi balik hati kita di sebalik kesibukan pekerjaan dan kehidupan seharian. Ia juga adalah bulan yang mendorong kita untuk memperbaiki, memperhalusi dan memurnikan bicara kita. Bicara ini adalah suatu perkara yang penting dan yang tidak boleh dielakkan. Ia bukan sekadar bercakap tetapi ia adalah berkomunikasi.

Komunikasi itu adalah perkara pertama yang dihadapi oleh manusia pertama yangdiciptakan, iaitu Nabi Adam a.s. Apabila Allah s.w.t. mengajarkan kepada Nabi Adam a.s. nama-nama (benda-benda) seluruhnya dan mengemukakan kepada para Malaikat untuk menyebutkan kepadaNya nama-nama benda itu, mereka menjawab bahawa merekatidak tahu kecuali yang diajarkan. Kemudian Allah s.w.t. memerintahkan Nabi Adam a.s. untuk memberitahukannya kepada para Malaikat.

Allah s.w.t. mengajarkan Nabi Adam a.s. nama-nama itu bukan lain tetapi untuk mengejar kita keupayaan menceritakan, menjawab dan memberitahu pengetahuan yang telah ada di dalam minda kita sebagai bahan-bahan maklumat yang mampu disampaikan melalui perkataan-perkataan yang tersusun rapi. Kita juga dapat lihat pada firman Allah s.w.t.:

“(Tuhan) Yang Maha Pemurah. Yang telah mengajarkan al-Quran. Dia menciptakan manusia. Mengajarnya pandai berbicara.” [Ar-Rahman: 1-4]
Allah s.w.t. mengajarkan al-Quran, dijadikan manusia selepas itu dan selanjutnya Allah s.w.t. mengajar manusia “al-Bayan”. Maksud “al-Bayan” di sini ialah mampu menceritakan, menyampaikan dan menghuraikan dengan baik dan jelas perkara-perkara yang tersembunyi di dalam diri dan hati kita. Al-Quran itu ialah suatu wadah komunikasi langsung daripada Allah s.w.t. kepada manusia. Komunikasi yang merupakan mukjizat besar bagi junjungan Nabi Muhammad s.a.w. ini, Allah s.w.t. memilih bulan Ramadan untuk menurunkannya. Allah s.w.t. berfirman:

“Bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil).” [Al-Baqarah: 185] Persoalannya ialah, dengan siapa harus kita berkomunikasi? Jawapannya adalah; di sana terdapat 3 hubungan komunikasi:

Pertama: Dengan Pencipta Kita

Ramadan memberi kesempatan kepada kita untuk semak kembali komunikasi kita dengan Allah s.w.t. Di antara kegagalan manusia untuk berkomunikasi denganNya ialah apabila ibadah yang paling terpenting, iaitu solat, ianya dilakukan secara tidak intim denganNya. Ianya seringkali tidak berkesan kerana disebabkan perkara-perkara berikut:

• tidak berkomunikasi dengan baik,
• salah berkomunikasi, atau
• tidak perasan terdapat tempat-tempat yang sepatutnya diberikan lebih tumpuan untuk berkomunikasi seperti ketika kita bersujud, sedangkan itu adalah saat yang paling hampir kita bersama Allah s.w.t.

Di antara kegagalan juga yang boleh berlaku adalah disebabkan diri kita yang tidakmenyahut arahan dan permintaan Allah s.w.t. selama ini. Sebagai contoh, Allah s.w.t. meminta kita untuk tidak menyebut keaiban orang tetapi kita masih terus menyebut keaiban orang lain. Ataupun Allah s.w.t. memerintahkan kita untuk tidak menggunakan mata kita untuk memandang perkara-perkara yang mendatangkan keburukan dan kebencian, akan tetapi kita menyahut perintahNya itu dengan melakukan sebaliknya. Di sinilah terletaknya kegagalan komunikasi kita dengan Allah s.w.t!

Kedua: Dengan Diri Kita Sendiri

Pada bulan Ramadan ini juga Allah s.w.t. sebenarnya mengajak kita untuk menjernihkanbicara kita dengan diri kita sendiri. Allah s.w.t. membantu kita dengan membelenggukan syaitan yang selalu menghasut dan menganggu bicara kita. Apabila tiba malam pertama bulan Ramadan, para Malaikat menyeru, “Wahai orang yang berbuat kebajikan, teruskanlah (mara berbuat kebajikan), wahai orang berbuat kejahatan, hentikanlah. Bagi
Allah s.w.t., terdapat ramai hamba-hambanya yang akan dibebaskan daripada api neraka.” Dan seruan itu diserukan pada tiap-tiap malam.

Oleh itu, kita mengambil kesempatan di bulan mulia ini untuk bermuhasabah setiap perbicaraan kita agar sentiasa kita berbicara dengan baik dan bermuhasabah dengan diri kita agar dapat menjinakkannya kepada yang baik-baik.

Ketiga: Dengan Makhluk Allah s.w.t.

Ramadan juga melatih diri kita untuk mampu berbicara dengan orang lain. Kita lihat lagi komunikasi kita dengan orang-orang di sekeliling kita secara khususnya orang-orang yang Allah s.w.t. telah pilih sebagai keluarga kita; ibu bapa, suami isteri, anak-anak dan sebagainya. Naluri yang ada pada seorang mukmin yang berpuasa ialah hatinya bersih ingin mengeratkan hubungan, ingin berkongsi kebahagiaan dan ingin memberikan kehormatan kepada orang. Tetapi perkara-perkara itu tidak boleh dilakukan jika kita tidak mampu berkomunikasi dengan diri kita terlebih dahulu secara baik.

Dengan itu, ambillah kesempatan pada bulan Ramadan ini untuk suburkan dan segarkan komunikasi kita. Kita berdoa kepada Allah s.w.t. agar dikurniakan kesejahteraan dan diberikan ketenangan kepada jiwa kita. Mudah-mudahan Ramadan kali ini memberi erti sebenar makna komunikasi kita bersama Allah s.w.t., bersama diri kita sendiri dan bersama mereka yang berada di sekeliling kita.

Ameen



Susunan: Ustaz Muhammad Zulkarnain Bin Azman
Eksekutif, Pembelajaran Islam Pembelajaran Islam & Pendekatan MasyarakatMasjid Yusof Ishak